Mavcom buat laporan polis terhadap CEO AirAsia - Tony Fernandes

Tan Sri Tony Fernandes
Tan Sri Tony Fernandes

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom)buat laporan polis terhadap bos AirAsia

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menafikan dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tan Sri Tony Fernandes bahawa suruhanjaya itu memaksanya membatalkan 120 penerbangan tambahan bagi membolehkan rakyat Malaysia pulang mengundi pada Pilhan Raya Umum ke-14 minggu lalu.

Mavcom sebaliknya berkata suruhanjaya itu meluluskan sehingga 66 penerbangan tambahan yang dimohon syarikat penerbangan tambang murah itu pada 23 April.

"Suruhanjaya ini sama sekali menafikan tuduhan bahawa ia memberitahu AirAsia Berhad untuk membatalkan semua 120 penerbangan tambahan yang dimohon oleh AirAsia semasa tempoh pilihan raya umum ke-14.

"Suruhanjaya ini sebenarnya telah meluluskan semua 66 penerbangan tambahan yang dimohon oleh AirAsia pada 23 April 2018.

"Suruhanjaya ini tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan kepada AirAsia atau mana-mana syarikat penerbangan lain untuk mengurangkan atau membatalkan mana-mana penerbangan yang memenuhi keperluan kawal selia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mavcom menambah tuduhan yang dibuat Fernandes dalam video rakamannya adalah serius dan suruhanjaya itu telah membuat laporan polis.

Fernandes membuat rakaman itu selepas AirAsia menerima kecaman apabila membawa bekas Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak berkempen di Sabah menggunakan pesawat yang tertera slogan 'Hebatkan Negaraku’ dan logo BN.

Malah anak kapal yang bertugas ketika itu juga mengenakan pakaian berwarna biru dan bukan uniform merah seperti kebiasaannya.

Pada Ahad lalu, Fernandes meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana tindakannya dan mendakwa syarikat penerbangan itu menerima tekanan yang kuat daripada kerajaan sebelum ini.

Ini selepas Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz berkempen untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum lalu dan selepas AirAsia memperkenalkan 120 penerbangan tambang murah semasa pilihan raya.

Fernandes mendakwa dalam masa 24 jam selepas memperkenalkan penerbangan tambahan itu, beliau telah "dipanggil" oleh Mavcom dan diarahkan untuk membatalkan penerbangan berkenaan. Malaysiakini - 15 Mei 2018

AirAsia

AirAsia sangkal penafian Mavcom, kata syarikat ada bukti

AirAsia menyangkal penafian Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bahawa mereka memaksa syarikat itu membatalkan 120 penerbangan tambahan bagi membolehkan rakyat Malaysia pulang mengundi pada Pilhan Raya Umum ke-14 minggu lalu.

AirAsia berkata dakwaan yang dibuat oleh ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Tan Sri Tony Fernandes disokong dengan bukti, termasuk komunikasi dengan Pengerusi Eksekutif Mavcom Jeneral (Bersara) Tan Sri Abdullah Ahmad.

"AirAsia tegas menyangkal laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) terhadap CEO Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

"Kami ingin menekankan bahawa video yang dikeluarkan oleh Fernandes pada 13 Mei disokong sepenuhnya dengan bukti dan fakta termasuk komunikasi langsung antara Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dan Pengerusi Eksekutif Mavcom Abdullah Ahmad.

"Kami akan mendedahkan bukti dan fakta kepada pihak berkuasa pada masa yang betul," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Fernandes, dalam mesej video bertarikh 13 Mei, memohon maaf kerana tunduk pada tekanan dengan mempromosikan kempen pilihan raya umum (PRU) bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Fernandes, AirAsia enggan meminta Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz meletakkan jawatan meskipun Putrajaya menekan beliau susulan tindakan bekas menteri itu yang sering mengkritik BN.

Fernandes menjelaskan, dia pula menyebabkan kemarahan kerajaan BN ketika itu apabila memperkenalkan 120 penerbangan tambahan untuk kemudahan 26,000 pengundi pulang mengundi, selain menurunkan harga tiket sempena PRU ke-14.

"Dalam tempoh 24 jam, kami dipanggi Mavcom, dan diarahkan membatalkan semua penerbangan itu. Perkara itu memberi tekanan yang hebat kepada kami.

"Selain Rafidah yang kami tidak dapat 'diamkan', kami tambah penerbangan untuk bawa rakyat pulang mengundi, pada harga yang rendah,” katanya.

Mavcom awal hari ini menafikan dakwaan itu dan berkata suruhanjaya itu meluluskan sehingga 66 penerbangan tambahan yang dimohon syarikat penerbangan tambang murah itu pada 23 April. Ia turut membuat laporan polis. Malaysiakini - 15 Mei 2018


Artikel Lain:

  1. Cara Memikat Wanita yang Suka Travel
  2. 96 Tips Berbual Ketika Honeymoon
  3. Top 55 Blog Travel Malaysia 2017
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) buat laporan polis terhadap Tony Fernandes

Comments

Popular posts from this blog

Top 55 Blog Travel Malaysia 2017

96 Tips Berbual Ketika Honeymoon

Letak pelekat BN di kereta dapat RM300